SEPTEMBER 2022

China Rakan Dagang Utama Sarawak


KUCHING: Hubungan dagangan dan sosial antara Republik Rakyat China dengan Kerajaan Malaysia sentiasa erat sejak mewujudkan hubungan diplomatik pada 1974.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, China adalah rakan dagang utama Sarawak dengan jumlah dagangan bernilai RM27.045 bilion pada 2021.

Nilai eksport dagangan Sarawak ke China pada 2021 ialah RM18.6 bilion manakala import bernilai RM8.4 bilion, katanya selepas menerima kunjungan hormat Kuasa Usaha Republik Rakyat China di Sarawak, Xing Weiping di pejabatnya di sini hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, nilai eksport itu banyak disumbang oleh gas cecair asli manakala import terdiri daripada kimia, bahan bakar mineral, minyak pelincir dan barangan kilang.

Pada sesi kunjungan hormat itu, Awang Tengah dan Xing Weiping membincangkan pelbagai perkara yang mempunyai kepentingan bersama terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Awang Tengah memberitahu, Sarawak dan China boleh menjalin kerjasama dagangan dalam sektor pembangunan infrastruktur, pendigital, berteknologi tinggi, minyak dan gas, petrokimia, pertanian komersial dan banyak lagi.

Sehubungan itu, beliau mempelawa lebih banyak syarikat dari China untuk menerokai peluang pelaburan dan perdagangan di Sarawak.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat (SME) MINTRED, Datuk Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron dan Timbalan Kuasa Usaha China di Kuching, Song Changhong.

Sumber dari : Jiwa Bakti